20130906

Hati Ini UFO ( Bahagian 1 )

Malam itu sama seperti malam-malam sebelumnya. Sunyi. Sekali sekala terdengar bunyi cengkerik dan sayup-sayup rintihan si burung hantu. Zizo tersenyum seorang diri di tepi tingkap dengan teropong di tangan. Teropong itu dibelinya kira-kira dua bulan lalu tak lama selepas Ara berpindah masuk ke rumah kosong di hadapan rumahnya. Pertama kali Zizo melihat Ara, dia cuma menganggap gadis itu biasa-biasa sahaja. Tiada perasaan suka seperti sekarang. Tiada perasaan sayang seperti sekarang. Semuanya berubah secara tiba-tiba.

Ara ditukarkan ke sekolah yang sama dengan Zizo, cuma berlainan kelas. Ara di kelas 5A manakala Zizo di kelas 5B. Itu pun hanya diketahui oleh Zizo selepas dia terlihat Ara di pusat sumber sekolah selepas tiga hari gadis itu ditukarkan. Tak kurang juga maklumat yang diperoleh daripada rakan-rakannya yang tergilababikan Ara. Heh, baru masuk dah ramai peminat. Tipikal pelajar sekolah. Tapi memang Zizo akui, Ara seorang gadis yang cantik.

Cuma kadang-kadang Zizo nampak Ara marah-marah pada pelajar lelaki yang mengganggunya. Bila marah, Ara akan cekak pinggang, jegil mata macam nak tercabut sambil ketap bibir menahan geram. Zizo tak boleh tahan ketawa bila Ara buat muka macam tu. Akibat tak boleh tahan ketawa tu lah Ara jadi perhatian Zizo sekarang, jadi cinta hati Zizo sekarang. Semuanya gara-gara dia kantoi ketawa dengan kuat bila Ara sedang marahkan kawan Zizo, si Khail yang sibuk mendecit macam tikus di pintu kelas sambil baling kertas yang digumpal kecil-kecil kepada Ara bila gadis itu lalu di tepi kelas mereka.

"Apa yang seronok sangat hah?! Kau cakap dengan aku apa yang seronok sangat!"

Ara menengking Zizo sambil mencengkam erat kolar uniform jejaka itu. Zizo terkejut. Mata bertentang mata. Oh, mata Ara secantik wajahnya. Coklat hazel. Zizo cuak, jantung mengepam darah dengan lebih laju, nafas terasa pendek, wajahnya merah bukan kerana marah tetapi malu. Bukan malu kerana ditengking oleh seorang gadis, tetapi malu kerana dia merasakan bahawa dia telah jatuh cinta dengan gadis itu. Gila. Zizo memang gila.

*bersambung