20150616

Terbang lah, Merpati!

Lampu tidak akan sentiasa ternyala, tidak akan sentiasa menerangi jalan. Bulan tidak akan sentiasa bercahaya, tidak akan kekal pada paksinya. Bintang juga, tidak akan sentiasa berkelipan, tidak akan sentiasa muncul di dada langit. Dan matahari turut tidak akan sentiasa kelihatan, tidak akan sentiasa mengalahkan awan hitam. Sedari lah merpati, bahwa bukan setiap kegelapan itu akan diterangi. Bukan setiap kesedihan itu akan diganti. Bukan setiap kelukaan itu akan diubati. Dan bukan setiap kekecewaan itu akan dimaafi. Akan tiba suatu masa kau perlu terbang sendiri tanpa ada yang membantu lagi, tanpa ada yang menemani lagi, dan tanpa ada yang sentiasa bersamamu lagi. Masih kah kau ingat kata-katanya merpati? Bila tiba masa kau perlu terbang jauh, terbang sahaja dan jangan sesekali menoleh ke belakang lagi. Mungkin sahaja dia tidak mahu kau hilang semangat melihat bayangan-bayangan hitam yang pernah menghantui hidup mu selama ini. Tapi tidak mustahil juga dia tidak mahu kau mengingati anekdot-anekdot yang pernah tercipta antara kalian. Oh Merpati, ketahuilah bahwa dia juga punya kehidupan sendiri. Apalah kuasa yang kau ada untuk menghalang di saat kakinya melangkah pergi? Apa kau punya kuasa untuk buat dia mengerti bagaimana rasanya hati mu dirobek-robek tanpa belas kasihan saat dia menamatkan segalanya? Apa kau mampu buat dia memahami bahwa dia adalah semangat mu yang paling kau perlukan dalam setiap milisaat nafas mu? Cukup-cukup lah bergantung harap, Merpati. Jangan diikut-ikut sifat sang pungguk. Lihat lah bagaimana ia merana gara-gara merindukan bulan yang tidak mungkin akan dapat dimiliki. Terlalu sayang akan membinasakan diri mu, Merpati. Tiba masanya untuk kau berdikari menjalani kehidupan sehari-hari, walau seribu tahun pun mungkin tidak mampu menyembuhkan kelukaan di hati.